Tuesday, August 11, 2009

kerusi

KERUSI

Selepas salam dijawab tetamu dijemput masuk lalu dipersilakan duduk. Segulung tikar mengkuang ditarik lalu dibentangkan. Selang beberapa ketika secawan kopi dihidangkan. Mula bicara dengan bertanya khabar sehinggalah menyentuh hal-hal keluarga. Akhirnya baru hajat sebenar diperbualkan. Adat tetamu yang bertandang harus dilayan. Betapa indah dan mulianya adat bermasyarakat terutamanya di kampung.

Kini, tikar mengkuang sudah tidak digunakan (hanya disimpan sebagai perhiasan). Kerusi dijadikan pengganti. Masih menerapkan nilai-nilai kesopanan masyarakat, tetamu dipersilakan duduk dan dilayan dengan mesra. Kerusi diruang tamu dinamakan sofa. Mempunyai saiz dan bentuk yang besar dan lebar. Ditambah pula kusyen yang lembut dan empuk. Sekali lagi mesranya tetamu dilayan dengan mulia. Bertambah selesalah mereka di atas sofa. Selain sebagai ruang untuk menerima tetamu ruang tersebut juga merupakan ruang santai keluarga. Maka selesalah di atas sofa dan sekeluarga bergurau senda.

Kerusi dimeja makan amatlah berguna. Letaknya di ruang makan atau dapur dapat mengumpulkan ahli keluarga makan bersama. Disinilah pentingnya set kerusi dan meja makan dalam menjamah hidangan berkuah.

Dalam mengulangkaji atau bekerja di ruang pejabat. Kerusi disertakan bersama meja kerja. Dapatlah ahli keluarga bekerja atau mengulangkaji dalam suasana yang sihat dan selesa.

Pergi ke kaunter-kaunter pembayaran kerusi juga disediakan. Masih berfungsi sebagai tempat duduk ketika menunggu giliran namun, saiznya lebih kecil dan kurang selesa. Kerusi hanya sekadar duduk sebentar bukan dalam jangka masa yang lama.

Lihat di pondok-pondok hentian bas kerusi panjang disediakan. Begitu juga di taman-taman riadah individu dan keluarga. Sekali diperhatikan ada lekuk-lekuk sekatan pada kerusi. Rupanya hanya untuk menjelaskan fungsi bukan untuk merebahkan belakang.

Saiz, bahan dan kemasan yang digunakan dalam reka bentuk kerusi bergantung kepada keperluan di mana tempat dan tujuan digunakan. Pentingnya reka bentuk sedemikian demi memenuhi kehendak dan keperluan penggunaannya. Selain itu keperluan keselamatan dan kesihatan juga diberi perhatian. Disinilah letaknya kejelasan fungsi sebuah kerusi yang dihasilkan.

Selain menjelaskan fungsi, nilai –nilai estetika juga diberi perhatian. Pelbagai kemasan dan warna digunakan. Terserahlah kepada pengguna untuk membuat pilihan. Kepelbagaian jenis dan reka bentuk mengikut keperluan ruang dihasilkan. Akhirnya pengguna berkuasa memilih mengikut keperluan atau menonjolkan kemewahan.

Oleh : muriza Mustafa


tempat : felda residence, trolak

jam : 1215 - 0200 am


tarikh : 1 ogos 2009

10 Ogos, 2009


Muriza

Sebuah penceritaan yang menarik. Munira mempuyai bakat yang tersendiri. Berupaya mencerita secara kreatif. Artikel begini boleh dikrim kepada majalah hiasan dalaman.

Saya tidak membuat apa-apa pembetulan.

Safar
Prof Dr Mohd Safar Hasim
School of Media and Communication Studies
Universiti Kebangsaan Malaysia
43650 Bangi, Selangor, MALAYSIA